
KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bercadang membawa kumpulan legenda Red Hot Chili Peppers (RHCP) jika Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini.
Baginda bertitah, JDT telah mengadakan sambutan besar-besaran pada tahun lalu apabila bergelar juara Liga Super.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki … katakanlah menang Liga. Apa pula hendak buat, kita dah buat besar-besaran tahun lepas.
“Saya ingatkan tahun ini Red Hot Chili Peppers. Doakan, panggil juga superstar-superstar bola sepak,” titahnya dalam sesi wawancara Pemangku Sultan Johor bersama penyokong JDT, di Johor Bahru, sebentar tadi.
RHCP yang ditubuhkan pada tahun 1982 di Los Angeles, Amerika Syarikat dianggotai Anthony Kiedis (vokal), Chad Smith (dram), Michael Peter Balzary (bass) dan John Frusciante (gitar).
Menggabungkan elemen funk, rock, punk, dan psychedelic, kumpulan ini bukan sekadar menghasilkan lagu tetapi mencipta identiti muzik yang tersendiri sehingga menjadi salah satu kumpulan paling berpengaruh dalam dunia rock moden.
Antara lagu-lagu popular RHCP termasuk Under the Bridge, Californication, Scar Tissue, Otherside dan banyak lagi.
Kumpulan RHCP juga telah memperoleh lebih 20 pengiktirafan seperti Grammy Awards, MTV Video Music Awards (VMA) dan Global Icon Award.







