
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen mengarahkan prosiding komital terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ditangguhkan sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan.
Tindakan komital itu berpunca daripada kenyataan Mohd. Shafie berhubung inkues kematian Zara Qairina Mahathir, yang didakwa menjejaskan kelancaran prosiding inkues berkenaan.
Hakim Amir Shah Amir Hassan membuat ketetapan tersebut selepas mendengar bantahan awal pihak responden yang menyentuh soal forum serta bidang kuasa.
Dalam isu pertama, yang mempertikaikan perintah kebenaran memulakan komital kerana dikeluarkan atas nama Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dan bukan Mahkamah Koroner Papar, mahkamah memutuskan ia hanyalah kesilapan teknikal dan tidak menjejaskan keabsahan prosiding.
Bagaimanapun, berhubung persoalan bidang kuasa, mahkamah berpandangan memandangkan komital boleh membawa implikasi hukuman, adalah lebih wajar prosiding itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman bagi menentukan kedudukan undang-undang berkaitan inkues tersebut.
Mahkamah turut menjelaskan penangguhan ini hanya melibatkan prosiding komital, manakala inkues kematian Zara Qairina tetap berjalan seperti biasa.
Tarikh 27 Mac ditetapkan untuk kemas kini status semakan kehakiman secara dalam talian melalui Zoom dan kehadiran Mohd Shafie tidak diwajibkan.
Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan), diwakili peguam Chen Ket Chuin KC bersama Jakariya Ab Jalil dan Bartholomew Jingulam, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dalam ucapan di Sandakan pada tahun lalu menyifatkan kematian remaja itu sebagai pembunuhan selain mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai 2025 di bawah bangunan asrama di sebuah sekolah menengah agama di Papar dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Inkues dijalankan bagi mengetahui punca kematian pelajar Tingkatan Satu itu yang berlangsung sejak 3 September 2025 dan ketika ini masih diteruskan.






