
PUCHONG: Majlis Pengurusan Bencana Negara dicadang ditubuhkan sebagai badan tertinggi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan bencana serta pengurangan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarah menyediakan Kertas Kabinet untuk diedarkan kepada semua kementerian bagi mendapatkan pandangan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Dalam tempoh sebulan, edarkan kepada semua kementerian untuk mendapat ulasan dan saya sendiri akan bentangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Naik taraf Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat kepada Majlis Pengurusan Bencana Negara, kita mahu pengurusan bencana benar-benar dipertingkat,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 kepada warga NADMA di Markas SMART, Jalan Pulau Meranti, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, mekanisme pengurusan bencana negara melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat perlu terus diperkukuh.
Beliau menekankan keperluan penglibatan langsung Menteri Besar dan Ketua Menteri kerana kerajaan negeri memegang kuasa penting dalam pembangunan, guna tanah serta pengurusan sumber air, yang merupakan faktor kritikal dalam menentukan tahap risiko dan impak bencana.
“Begitu juga penglibatan menyeluruh Menteri Persekutuan yang mempunyai mandat dan keupayaan untuk menyelaras semua aspek secara bersepadu merentas kementerian dan agensi sekali gus membolehkan keputusan strategik dibuat dengan lebih pantas, tegas dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, satu pendekatan baharu perlu diperkenal dalam pengurusan bencana dengan menerapkan konsep keseluruhan negara bagi membina daya tahan dalam menghadapi krisis dan bencana.
“Kita mesti jujur dengan realiti, bencana hari ini tidak lagi bersifat terasing atau bermusim.
“Ia turut didorong oleh perubahan iklim, pembangunan pesat, urbanisasi, kepadatan penduduk serta ketidaktentuan global yang merentas sektor.
“Bencana kini melangkaui soal alam sekitar dan turut merangkumi kesihatan awam, krisis kemanusiaan serta gangguan teknologi dan infrastruktur kritikal malah pendekatan lama tidak lagi memadai,” katanya.
Jelas beliau, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 kini digubal sebagai komitmen jangka panjang negara untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat melalui pengurusan risiko yang komprehensif dan holistik.





