
PUTRAJAYA: Bahagian Ancaman Ekstremis dan Sosial (E2) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka memberi taklimat mengenai gerakan kultus dari Korea Selatan pada minggu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak akan bergantung kepada spekulasi atau maklumat tidak rasmi dalam menangani dakwaan kewujudan gerakan tersebut.
Beliau berkata, pendekatan lebih berhati-hati dan cermat diperlukan serta maklumat rasmi daripada E2 amat penting sebelum sebarang tindakan diambil.
“Tugas hakiki E2 adalah mengesan sebarang bentuk ajaran salah atau sesat yang terdapat di negara ini bagi semua agama,” katanya ketika sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.
Menurut Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) giat memantau gerakan kultus tersebut serta mengumpul maklumat lengkap sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.
Gerakan kultus merujuk kepada pegangan melampau terhadap sesuatu tokoh sehingga pertimbangan rasional diketepikan.
Ia biasanya melibatkan ketaatan tanpa soal kepada tokoh tertentu, walaupun tindakannya jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta.
Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendedahkan dalam Facebook beliau mengenai wujud penularan gerakan menggunakan nama ‘Jesus’ dengan pelbagai dakwaan yang dianggap janggal dan menyimpang.
Beliau menegaskan aliran Kristian utama tidak mengiktiraf kumpulan ini.





