
PUTRAJAYA : Malaysia menolak dakwaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bahawa tidak diberikan akses ke depoh tahanan Imigresen dalam negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, terdapat hanya dua permohonan rasmi daripada UNHCR diterima pada tahun ini berkaitan lawatan ke depoh berkenaan.
“UNHCR… kalau semalam, dalam New York Times, dia cakap kita tak beri akses pula nak masuk ke depoh imigresen.
“Seingat saya, tahun ini, baru dua kali kita terima surat, di mana UNHCR kata dia nak datang jengok depoh Imigresen, dua kali baru.
“Tapi dia beri tahu dunia kata kita sekat, tak bagi. Jadi semua itu kita ‘manage’ dari segi persepsi,” katanya pada Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, pagi ini.
Menurut laporan New York Times, UNHCR mendakwa pihaknya tidak lagi diberi akses sejak 2019 untuk memasuki sebahagian besar depoh tahanan Imigresen di Malaysia.
Keadaan itu dikatakan menjejaskan kemampuan mereka mengenal pasti individu berstatus pelarian serta memantau keadaan di pusat-pusat tahanan terbabit.
Laporan itu turut menyatakan akses hanya diberikan melalui proses permohonan rasmi, sambil merujuk kepada dua lawatan yang berjaya dilakukan pada tahun lalu.







