
KUALA LUMPUR: Bakal jemaah umrah bagi tempoh Disember hingga Februari disaran memberi perhatian terhadap persediaan pakaian dan barangan keperluan berikutan keadaan cuaca sejuk di Tanah Suci pada musim berkenaan.
Wakil Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd memaklumkan, suhu di Mekah dan Madinah lazimnya mencecah antara lapan hingga 18 darjah celcius pada waktu tertentu, menyebabkan jemaah perlu membawa pakaian sesuai dan kelengkapan tambahan bagi mengekalkan keselesaan ketika menunaikan ibadah.
“Antara barangan disarankan, termasuk jaket tebal, pakaian berlapis, sarung tangan, stokin, pelembap bibir, krim kulit dan kasut yang sesuai untuk berjalan jarak jauh.
“Jemaah juga dinasihatkan membawa ubat-ubatan asas, botol air, pelitup muka dan losyen pelindung matahari memandangkan cuaca boleh berubah-ubah,” katanya.
Pada masa sama, syarikat itu mengingatkan para jemaah tidak membawa barangan tidak diperlukan seperti aksesori berlebihan, pakaian terlalu banyak, peralatan elektrik tidak dibenarkan dan barang mudah pecah atau bernilai tinggi yang berisiko hilang.

Andalusia turut menekankan bahawa bagasi ringan dan tersusun bukan sahaja memudahkan pergerakan jemaah, malah membantu mengurangkan masa pemeriksaan di lapangan terbang dan mengelakkan masalah lebihan berat bagasi.
“Persediaan awal dan disiplin mematuhi senarai semak diyakini dapat membantu jemaah menunaikan umrah dengan lebih selesa dan teratur sepanjang musim sejuk di Tanah Suci,” katanya.
Sementara itu, Andalusia kini melancarkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang menawarkan peluang menunaikan umrah secara percuma melalui cabutan bertuah mingguan.
Antara hadiah utama termasuk sebuah kereta, dua motosikal serta pelbagai hadiah lain dengan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah tersebut diadakan setiap Sabtu sepanjang Karnival JIMBA dan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.







