
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan sepenuhnya Award Akhir melibatkan pampasan bernilai AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion).
Award Akhir berkenaan diberikan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr. Gonzalo Stampa dalam tuntutan difailkan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Keputusan mahkamah itu dikeluarkan pada Selasa lalu memutuskan bahawa penimbang tara Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia dengan prosiding tersebut.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai penghakiman muktamad dan kemenangan besar bagi Malaysia.
Hajiji mengulangi pendirian tegas Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia dan menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan tuntutan sedemikian.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris sekali lagi mengesahkan pendirian Sabah selama ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan Sabah kekal komited sepenuhnya untuk meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menolak sebarang tuntutan yang mungkin timbul pada masa akan datang.
“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya.





