PUTRAJAYA: Pendakwaan di Mahkamah Persekutuan hari ini menegaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan individu yang harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi perbuatan pecah amanah jenayah membabitkan dana RM1 juta milik Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bekas Ketua ARMADA itu jelas menjadi dalang yang mengarahkan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, mengeluarkan dana berkenaan atas tujuan yang ‘jahat dan tidak jujur’.
Menurutnya, Rafiq sendiri mengakui tidak akan mengeluarkan RM1 juta tanpa arahan Syed Saddiq, yang ketika itu turut memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Hujah itu turut diperkukuh tiga saksi pendakwaan lain yang menegaskan tindakan mereka digerakkan oleh arahan sama daripada responden.
Wan Shaharuddin berkata, panel Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq sepatutnya menilai keterangan saksi-saksi berkenaan yang tiada kepentingan untuk mengenakan responden.
Malah hubungan mereka dengan Syed Saddiq dikatakan baik, termasuk Rafiq yang pernah bertemu untuk memperagakan baju Melayu sebelum perbicaraan.
Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan menolak keterangan relevan itu menjejaskan kekuatan keseluruhan kes yang bergantung kepada bukti keadaan.
“Kes kami jelas dari awal iaitu responden tidak melakukan pecah amanah secara fizikal, tetapi ialah dalang atau ‘mastermind’ seperti disahkan saksi pendakwaan ke-13.
“Sebagai dalang, responden seharusnya dipersalahkan sepenuhnya,” katanya.
