
SURIN: Pertempuran sengit di sempadan Thailand–Kemboja kembali memuncak hari ini, dengan kedua-dua negara melaporkan korban jiwa ketika menanti panggilan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pertempuran yang berlarutan selama lima hari itu menyaksikan Thailand mengesahkan sembilan anggota tenteranya terkorban, manakala puluhan lagi cedera.
Kemboja pula melaporkan 10 orang awam maut dan sekitar 60 cedera, sementara angka korban tenteranya belum didedahkan, namun laporan tidak rasmi menyebut sekurang-kurangnya lapan anggota terbunuh.
Lebih 500,000 penduduk di kedua-dua sisi sempadan terpaksa melarikan diri selepas jet pejuang, kereta kebal dan dron terus mengebom kawasan konflik, termasuk berhampiran kompleks kuil purba yang menjadi pertikaian sejak sekian lama.
Trump dijangka menghubungi Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet lewat malam ini (waktu Thailand) bagi mendesak kedua-dua negara menghentikan pertempuran.
“Saya pernah hentikan pertelingkahan ini dan saya percaya boleh melakukannya lagi,” katanya di Rumah Putih.
Di medan konflik, kedua-dua negara saling menuding jari mencetuskan pertempuran baharu yang kini merebak ke lima wilayah di Thailand dan Kemboja.
Penganalisis melihat kedua-dua pemimpin memanfaatkan sentimen nasionalisme domestik, terutama Anutin yang berdepan pilihan raya awal tahun depan.
Thailand paling berisiko dari sudut ekonomi, susulan kebimbangan Trump akan mengaitkan gencatan senjata dengan rundingan tarif yang penting kepada ekonomi berorientasikan eksport negara itu.
Ledakan artileri turut dilaporkan sejak subuh berhampiran kuil bersejarah di Oddar Meanchey, Kemboja.
Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa Thailand memulakan serangan baharu ke kawasan Khnar Temple, namun dakwaan itu belum dapat disahkan.
UNESCO dalam kenyataan turut menggesa semua pihak melindungi warisan budaya dunia di kawasan berkonflik, terutamanya kuil Preah Vihear, lokasi pertempuran berdarah pada 2008 hingga 2011 yang meragut puluhan nyawa.






