
JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan merancang memperkenalkan perkhidmatan komuter bagi laluan Kulai–Johor Bahru bermula suku pertama tahun hadapan sebagai usaha meningkatkan kemudahan mobiliti penduduk di wilayah selatan Johor.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perkhidmatan baharu itu akan memanfaatkan set tren dan gerabak sedia ada yang sebelum ini digunakan untuk operasi tren shuttle Gemas–Johor Bahru.
“Selain perkhidmatan ETS, kita juga mahu memperkenalkan tren komuter khusus untuk laluan Kulai ke Johor Bahru.
“Ini sedang dirangka dan sementara menunggu set tren baharu, kita akan optimumkan gerabak sedia ada.
“Koc yang digunakan antara Gemas dan Johor Bahru akan disusun semula untuk laluan Kulai-Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Keretapi Kempas di sini, hari ini.
Anthony berkata, pelaksanaan perkhidmatan komuter bagi laluan Kulai–Johor Bahru membolehkan kekerapan tren ditingkatkan dengan ketara memandangkan perjalanan hanya mengambil masa sekitar 20 minit.
Menurutnya, dengan jadual baharu yang bakal diperkenalkan, sebanyak 16 perkhidmatan menuju Johor Bahru dan 16 lagi ke Kulai akan disediakan setiap hari, menjadikan kekerapan operasi hampir setiap 30 minit.
Beliau menambah, langkah itu dijangka menggalakkan penduduk di sekitar Kulai dan kawasan sepanjang laluan tersebut untuk beralih kepada pengangkutan awam.
Ujarnya, ia sekali gus mengurangkan kesesakan dan kebergantungan kepada motosikal serta kenderaan persendirian.
Sementara itu, mengulas mengenai projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Johor, Anthony berkata, proses kelulusan bagi projek berkenaan masih dalam perbincangan dan perincian pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Beliau memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengadakan perbincangan berhubung projek tersebut bagi memastikan ia dapat direalisasikan mengikut perancangan.






