
KUALA LUMPUR : Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 tuduhan pengubahan wang haram.
Dalam satu kenyataan, AGC memberitahu, keputusan itu dibuat selepas pihak jabatan menilai peluang untuk berjaya di peringkat Mahkamah Rayuan amat tipis.
AGC menjelaskan, mereka menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2025 dan telah meneliti secara menyeluruh alasan penghakiman berkaitan kes tersebut.
Ujarnya, meneruskan rayuan tidak akan mengubah keadaan kerana pendakwaan tidak lagi mempunyai keupayaan untuk membuktikan pertuduhan melebihi tahap keraguan munasabah.
“Faktor utama ialah beberapa saksi penting yang diperlukan untuk mengukuhkan kes terhadap Rosmah telah meninggal dunia atau tidak dapat lagi dikesan sekali gus menjejaskan kekuatan keseluruhan pendakwaan.
“Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan,” kata kenyataan itu.
Jabatan berkenaan menambah, setiap elemen penting dalam kes itu merangkumi pertimbangan fakta serta isu perundangan telah diperhalusi sepenuhnya sebelum keputusan untuk tidak meneruskan rayuan dibuat.
Katanya lagi, notis menarik balik rayuan tersebut turut diserahkan pada 9 Disember lalu.
Bagaimanapun, ujar kenyataan itu, keputusan untuk menarik balik rayuan terbabit tidak menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan, termasuk kes rasuah berkaitan projek solar hibrid melibatkan tertuduh yang tetap diteruskan dan kini berada pada peringkat Mahkamah Rayuan.
“Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
“Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan,” katanya.







