BANGKOK: Balingan ratu tukul besi negara, Grace Wong sejauh 65.41 meter (m) berjaya memecah rekod temasya Sukan SEA yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasa, Thailand hari ini.
Kejayaan tersebut menyaksikan atlet kelahiran Sarawak itu mempertahankan pingat emas dimenangi pada temasya Sukan Sea di Vietnam (2022) dan Kemboja (2023).
Atlet berusia berusia 25 tahun itu yang memenangi pingat emas pada edisi Sukan Sea Kuala Lumpur (2017) turut memecah rekod kebangsaan miliknya sejauh 63.53m yang dilakar pada Terbuka Malaysia, Ogos lalu.

Pingat perak menjadi milik atlet Thailand, Koomphon Mingkamon melalui lontaran 60.74m manakala rakan senegaranya Kaewasuksri Sawitree meraih gangsa selepas mencatat 56.27m.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Grace Wong tidak sekadar menang pingat emas acara baling tukul besi wanita di Bangkok tetapi mengangkat martabat negara.
“Balingan 65.41 meter yang memadam rekod Sukan SEA dan rekod kebangsaan dalam satu hembusan tenaga, percubaan keempat yang memisahkan atlet biasa dan legenda.
“Vietnam, Kemboja, Thailand. Grace mencipta hatrik emas dengan kekuatan dan ketenangan yang memecah batas biasa. Tahniah Grace. Malaysia berdiri lebih tinggi hari ini,” katanya dalam hantaran di media sosial Facebook.
