
KUALA LUMPUR : Penasihat DAP, Lim Guan Eng, hari ini mengusulkan 10 perkara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai isu-isu berkepentingan negara.
Beliau berkata, krisis keyakinan terhadap kerajaan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) hanya boleh dipulihkan dengan penggubalan baharu dasar-dasar kerajaan yang menjaga kepentingan mereka tanpa merugikan manfaat mana-mana golongan rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan sepanjang lima muka surat yang dimuat naik di Facebook dan ditujukan kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen Bagan itu menampilkan tajuk: “Menunaikan Komitmen Membela Hak Penyokong Pakatan Harapan (PH), Sabah dan Sarawak Serta Mempercepat Pelaksanaan Janji Manifesto PH PRU15.”
Antara perkara dinyatakan beliau termasuk janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu ditunaikan kerana sebagai pemegang amanah kepada pengundi, tidak ada jalan lain kecuali jalan terus melaksanakan janji Manifesto PH dengan segera.
Ia diikuti syor kerajaan menyalurkan peruntukan 10 peratus kepada bukan bumiputera berbanding peruntukan bumiputera, tanpa menjejaskan jumlah asal atau tanpa membabitkan pengurangan peruntukan kepada bumiputera.
“Memang wujud perasaan tidak puas hati bahawa peruntukan bukan Bumiputera tidak ditambah sebaliknya berkurangan sekiranya dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini khususnya dalam sektor pendidikan dan ekonomi.
“Tidak ada sebarang bantahan daripada masyarakat bukan bumiputera terhadap apa yang diperuntukkan kepada golongan bumiputera, tetapi pemberian geran masa kini sebanyak 3 peratus kepada bukan bumiputera berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan bumiputera dalam belanjawan ataupun Rancangan Malaysia Ke-15 (RMK15) adalah terlalu kecil,” ujarnya.
Bekas Menteri Kewangan itu menambah, pemberian 10 peratus tersebut jauh ketinggalan berbanding dengan komposisi penduduk bukan bumiputera di Malaysia sebanyak 30 peratus.
“Sekiranya telah pun ditetapkan jumlah peruntukan khas untuk golongan bumiputera, hanya perlu tambah 10 peratus lagi untuk golongan bukan bumiputera.
“Ini akan membantu usaha menyatupadukan dan membina negara yang boleh memastikan semua pihak dapat bahagian yang adil serta saksama,” katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan juga perlu melaksanakan pembekuan atau mengkaji semula peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perniagaan Malaysia.
“Peranan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) dalam negara tidak boleh dinafikan dengan sumbangan 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ingin dinaikkan kepada 40 peratus menjelang 2030 dan menjana 48 peratus pekerjaan negara serta hampir 13 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
“Peluasan skop SST yang dilaksanakan pada 1 Julai 2025 telah menambah beban kos kepada perniagaan, terutama sekali PKS.
“Dengan pelaksanaan perang tarif oleh Amerika Syarikat (AS), adalah perlu kerajaan bantu mengurangkan kos PKS. Peratusan cukai dan peluasan skop cukai SST ke atas perniagaan Malaysia harus dibekukan atau dikaji semula, khususnya sektor pembinaan, pendidikan dan sewaan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mewajibkan pembelian 50 peratus barangan keperluan daripada pengeluar tempatan, selain mengenakan 10 peratus SST bagi bijih besi import dan tempatan, arang batu kok metalurgi, kok serta pemansuhan SST ke atas besi buruk demi melindungi industri tempatan.
Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, pembekuan caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan majikan perlu dihentikan kerana dilihat membebankan.
“Selain itu, tidak mengenakan cukai dua peratus pendapatan dividen yang melebihi RM100,000 ke atas syarikat yang bukan entiti tersenarai dalam Bursa Malaysia atau perniagaan rakan kongsi.
“Memansuhkan penalti RM10,000 mengikut Seksyen 45F Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dalam Dewan Negara dan mengkaji mengecualikan PKS daripada e-invois sementara menaikkan nilai ambang kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta,”ujarnya.







