
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM100 juta bagi tiga dana sukan utama pada tahun depan meliputi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSN), Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, RM50 juta diperuntukkan kepada KWSN, RM30 juta (GPS) dan RM20 juta kepada DSK.
Beliau berkata, terma, syarat serta jadual permohonan akan disiarkan di laman web Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mulai 15 Disember bagi memudahkan persatuan dan penganjur merancang serta mengemukakan permohonan mengikut ketetapan.
“Mana-mana pihak yang ingin membuat permohonan boleh berurusan secara langsung dengan KBS atau agensi di bawah kementerian yang menyediakan peruntukan ini kerana kami tidak mengenakan caj atau komisen dan tiada runner,” katanya pada sidang media Dana Sukan KBS di sini, hari ini.
Mengulas mengenai GPS, Hannah berkata, geran yang diberi berbentuk tuntutan bayaran balik bagi penganjuran kejohanan berprestasi dan berimpak tinggi pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, serta kelulusan maksimum hingga RM1 juta akan disalurkan bagi acara yang memberikan impak besar kepada Malaysia.
Bagi DSK pula, bantuan sekali beri itu mengutamakan persatuan sukan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan kelab belia berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
“Mulai tahun depan, DSK turut dibuka kepada pertubuhan (sukan yang) berdaftar di bawah ROS. DSK menyasarkan program sukan dan rekreasi pada peringkat daerah serta negeri.
“Permohonan di bawah RM10,000 akan dibayar terus, manakala jumlah melebihi RM10,000 disalurkan secara berperingkat bagi memastikan program benar-benar dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, dana KWSN terbuka kepada atlet persendirian bagi sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik atau temasya sukan rasmi.
“Untuk penyertaan luar negara, hanya kejohanan berstatus ranking dunia dipertimbangkan. Permohonan untuk perlawanan persahabatan atau kejohanan yang tidak diiktiraf tidak akan diluluskan,” jelasnya.







