GEORGETOWN: Pengurusan masjid di seluruh Pulau Pinang diarah mengadakan majlis bacaan surah Yasin dan solat hajat khas secara serentak selepas solat Maghrib hari ini bagi mendoakan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata solat hajat itu dilaksanakan sebagai tanda solidariti dan keprihatinan umat Islam di Pulau Pinang terhadap pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat Islam di Pulau Pinang hadir bagi menunjukkan kasih sayang dan semangat ukhuwah, serta bersama-sama memanjatkan doa agar Allahyarham ditempatkan di kalangan hamba Allah yang beriman.
“Pulau Pinang bersama seluruh umat Islam di negara ini bersatu hati memanjatkan doa agar Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesedihan yang dirasai di Sabah turut dirasai di Pulau Pinang, menunjukkan kasih sayang dan kepedulian sesama umat Islam melangkaui sempadan dan jarak.
“Semoga doa yang dipanjatkan secara berjemaah malam ini menjadi sumber ketenangan dan kekuatan kepada ahli keluarga Allahyarham, serta rahmat dan keberkatan Allah SWT turun ke negeri ini dan seluruh umat Islam,” katanya.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu keesokan harinya.
Kes ini menarik perhatian ramai selepas timbul dakwaan wujud unsur buli di sekolah berkenaan.
