
KUALA LUMPUR: Pemberhentian seramai 5,000 pekerja Petronas adalah sebahagian daripada proses rasionalisasi dan penstrukturan semula organisasi, terutamanya disebabkan pertindihan fungsi tenaga kerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan langkah ini dilakukan susulan peralihan teknologi baharu seperti digitalisasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, pemberhentian pekerja dijalankan secara berperingkat dengan beberapa langkah mitigasi, termasuk penempatan semula pekerja terlibat ke syarikat lain, antaranya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Pekerja terlibat juga diberi jaminan gaji sekurang-kurangnya selama setahun serta kemudahan lain seperti rawatan perubatan. Mereka juga akan diberi latihan dalam bidang baharu melalui kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan pemberhentian akan bermula dengan pekerja kontrak yang tamat tempoh perkhidmatan, diikuti fasa kedua yang melibatkan pekerja tetap dengan jaminan kebajikan untuk diri dan keluarga mereka.
Beliau memberi penjelasan itu sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah rasionalisasi dan penstrukturan semula Petronas yang bakal melibatkan pemberhentian lebih 5,000 kakitangan.
Menurut Anwar, langkah ini bukanlah pembuangan pekerja secara konvensional kerana ia dilaksanakan dengan pelan perlindungan yang menyeluruh.
Katanya, trend serupa turut berlaku dalam syarikat minyak antarabangsa seperti British Petroleum yang merancang memberhentikan 6,200 pekerja menjelang akhir tahun ini, selain Chevron (8,000 hingga 9,000 pekerja), Exxon Mobil, Shell, Aquino, ConocoPhillips dan NSB.






