PUTRAJAYA: Sempena tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI dan sambutan Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menawarkan kemasukan percuma ke Muzium Negara pada 6 dan 7 Disember, dari 9 pagi hingga 5 petang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah membuka akses percuma ini adalah usaha menggalakkan masyarakat kembali menyelami sejarah tanah air, terutamanya golongan muda dan keluarga, selain menghargai warisan yang membentuk jati diri negara.
“Memahami sejarah adalah asas penting dalam memupuk perpaduan dan memperkukuh nilai kebangsaan.
“Apabila rakyat mengenali akar negara, mereka akan lebih menghargai identiti dan keharmonian yang kita nikmati hari ini,” katanya menerusi kenyataan.
Muzium Negara menempatkan empat galeri utama yang merangkumi era prasejarah, zaman kesultanan Melayu, era penjajahan serta pembangunan Malaysia moden.
Orang ramai juga boleh melayari laman rasmi Muzium Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai galeri dan pameran yang disediakan.

Dalam pada itu, Aaron berkata, pemahaman terhadap sejarah merupakan asas penting dalam memupuk perpaduan serta menyemai nilai kebangsaan dalam kalangan rakyat.
“Dengan membuka akses percuma ini, kita berharap lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menyelami akar sejarah negara dan seterusnya memperkukuh semangat kebersamaan,” katanya.
Langkah itu sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan dalam mendekatkan masyarakat kepada institusi warisan, selain memeriahkan sambutan Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku tahun ini.
