
KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2025, membolehkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan skim baharu, LINDUNG 24 jam, yang memberikan perlindungan menyeluruh kepada lebih 10 juta pekerja sektor formal di seluruh negara.
Skim ini menandakan transformasi penting dalam sistem keselamatan sosial negara, di mana pekerja kini akan dilindungi sepanjang masa tanpa mengira lokasi atau waktu kemalangan berlaku.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut, menegaskan pelaksanaan LINDUNG 24 jam bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pekerja dan keluarga berkaitan rawatan, pengurusan hilang upaya dan proses pemulihan, malah menetapkan tahap perlindungan sosial yang lebih setara dengan amalan di negara-negara maju.
Langkah ini secara langsung menyelesaikan isu ribuan tuntutan yang sebelum ini ditolak kerana diklasifikasikan sebagai ‘bukan bencana kerja’, termasuk lebih 12,000 kes yang dicatat antara 2023 hingga Oktober 2025.
Dengan caruman serendah RM12.35 sebulan, pekerja kini layak menikmati pelbagai manfaat, termasuk faedah perubatan, elaun hilang upaya sementara dan kekal, faedah untuk orang tanggungan, elaun layanan berterusan, serta kemudahan pemulihan dan pinjaman pendidikan.
Inisiatif ini dianggap sebagai game changer selaras dengan realiti kerja hibrid dan anjal yang semakin mengaburkan sempadan antara urusan kerja dan kehidupan peribadi.
“Sebab itu kerajaan melalui PERKESO perkenalkan skim LINDUNG 24 jam supaya pekerja bukan saja dilindungi masa kerja, tapi juga di luar waktu kerja.
“Cuti sekolah bawa anak jalan-jalan, makan dengan keluarga lepas kerja, pergi pasar malam, balik kampung… kalau masa ni berlaku kemalangan, PERKESO tetap lindung anda dan keluarga,”katanya.





