
KUALA LUMPUR : Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan untuk sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlanjutan sehingga Mac 2026.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, berkata menurut ramalan cuaca MetMalaysia, negara bakal mengalami lima hingga tujuh episod hujan lebat sepanjang tempoh monsun, khususnya di negeri-negeri di Utara dan Pantai Timur Semenanjung.
Beliau menekankan dalam menghadapi cuaca ekstrem ini, seluruh anggota PDRM perlu bertindak secara proaktif dan tersusun, dengan fokus khusus terhadap kesiapsiagaan menghadapi banjir serta membantu masyarakat yang terjejas.
“Dalam menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu ini, Saya menggesa seluruh warga PDRM menggembleng tenaga dan bertindak secara lebih proaktif serta efektif, khususnya dalam menghadapi bencana banjir.
“Laksanakan pemantauan dan koordinasi secara berterusan, bagi memastikan penyaluran bantuan kepada masyarakat yang terjejas, dapat dilakukan dengan pantas dan menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Disember 2025 anjuran JPJKK di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid menegaskan setiap kontinjen dan formasi PDRM perlu memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada paras optimum, termasuk mempunyai kekuatan sumber manusia dan aset yang mencukupi pada setiap masa.
Beliau turut mengingatkan seluruh anggota agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri ketika bertugas dan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak sebarang risiko atau insiden yang tidak diingini.





