
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada pukul 1.46 pagi tadi.
Perkara itu disahkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar namun tidak mengulas lanjut mengenai punca kematian bapanya itu, ketika dihubungi pemberita.
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Terdahulu Bung Moktar, 66, dimasukkan ke hospital dan menerima lawatan antaranya daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru-baru ini, Bung Moktar berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.
Dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.




