
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. menegaskan orang ramai perlu berhati-hati susulan peningkatan kes penipuan pakej haji yang ditawarkan pada harga luar biasa rendah sehingga mengelirukan bakal jemaah.
Menurut wakil syarikat berkenaan, semakin banyak laporan diterima melibatkan mangsa yang terpedaya dengan tawaran kononnya ‘tawaran istimewa’, kuota khas atau laluan pantas tanpa tempoh menunggu, sedangkan semuanya tidak wujud.
“Ramai mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit selepas membuat bayaran kepada individu atau syarikat yang tidak berdaftar serta tidak memiliki lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang sah di bawah Lembaga Tabung Haji (TH).
“Hanya PJH berlesen dibenarkan menguruskan jemaah haji Malaysia. Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum mendaftar atau membuat sebarang pembayaran,” katanya.

Sehubungan itu, Andalusia menasihatkan orang ramai supaya merujuk senarai rasmi syarikat PJH berlesen melalui laman web TH, yang menyenaraikan pengendali sah dibenarkan menguruskan urusan haji.
“Semakan ini penting bagi mengelakkan masyarakat terpedaya dengan poster promosi, tawaran harga murah atau janji manis yang tidak berasas,” jelasnya.
Syarikat itu turut mengingatkan ibadah haji merupakan perjalanan suci sekali seumur hidup, justeru setiap bakal jemaah perlu memastikan urusan dibuat melalui saluran yang betul dan diyakini.
Sementara itu, Andalusia kini melancarkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang menawarkan peluang menunaikan umrah secara percuma melalui cabutan bertuah mingguan.

Antara hadiah utama termasuk sebuah kereta, dua motosikal serta pelbagai hadiah lain dengan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah tersebut diadakan setiap Sabtu sepanjang Karnival JIMBA dan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.







