
KUALA LUMPUR: Misteri menyelubungi penemuan satu mayat yang masih belum dikenal pasti identitinya di dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hari ini.
Mayat yang belum dapat dikenal pasti jantina itu ditemui kira-kira jam 6.55 pagi selepas pesawat berkenaan tiba dari Tokyo, Jepun, sekitar jam 6.30 pagi.
Penemuan itu berlaku ketika kakitangan kejuruteraan menjalankan pemeriksaan dengan membuka ruang simpanan tayar pesawat berkenaan.
Menurut sumber, kakitangan terbabit terlebih dahulu mengesan bau busuk yang mencurigakan dari bahagian tersebut sebelum melakukan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan mayat seorang individu yang memakai seluar jean dan baju berwarna putih.
Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA2 sebelum Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihantar ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berusia sekitar 20-an dan dianggarkan telah meninggal dunia lebih 72 jam.
Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap mayat tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri yang boleh membantu mengenal pasti mangsa.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti individu terbabit selain menyiasat punca serta keadaan yang membawa kepada kematiannya.





