
PUTRAJAYA: Dua bekas pegawai kanan kerajaan, termasuk bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) yang juga ahli politik, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua individu itu bermula hari ini hingga 2 September selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM yang dibuat pagi tadi.
Majistret Ezrene Zakariah mengeluarkan perintah berkenaan selepas individu terbabit dibawa ke mahkamah untuk proses reman.
Bekas Pengerusi TH yang berusia lingkungan 60-an tiba di kompleks mahkamah kira-kira 9.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga tertera logo SPRM serta tangan bergari. Beliau dibawa keluar kira-kira lima jam kemudian.
Dalam perkembangan sama, seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) turut dikenakan perintah reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kedua-dua suspek dilihat meninggalkan kompleks mahkamah sekitar 2.30 petang dengan menaiki van SPRM.
Peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat ketika ditemui memaklumkan anak guamnya, iaitu bekas Pengerusi TH, disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, bekas KSP berkenaan diwakili Datuk Seri K Kumaraendran dan Lavinia Kumaraendran.
Semalam, media melaporkan kedua-dua lelaki berusia sekitar 60-an itu ditahan kira-kira 4 petang ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, berdasarkan maklumat yang dimuat naik menerusi laman TikTok SPRM.
Sebelum ini, pada 21 Ogos, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji turut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan isu sama.
Tempoh reman bekas CEO itu kemudian dilanjutkan empat hari lagi bermula esok hingga 31 Ogos, selepas tempoh tahanan awalnya berakhir hari ini.
Laporan RCI berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), antara lain mengesyorkan pelaksanaan audit forensik bagi meneliti proses serta keputusan pelaburan terdahulu yang didakwa menyumbang kepada kemerosotan ketara nilai aset TH.
RCI turut mengenal pasti beberapa pelaburan bermasalah yang memerlukan penelitian melalui audit forensik.
Laporan itu juga mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan selain dakwaan berlaku penyembunyian maklumat berkaitan pengurusan TH.




