
ISTANBUL: Jumlah kematian susulan bencana banjir kilat dahsyat di Nepal meningkat kepada 472 orang menurut data pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi memetik The Kathmandu Post.
Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, angka itu termasuk tiga kematian di Wilayah Autonomi Xizang (Tibet) yang disahkan pihak berkuasa China.
Selain itu seramai 667 orang, termasuk warga asing, dilaporkan hilang di Nepal setakat lewat Khamis.
Pihak berkuasa Beijing pula menyatakan lebih 550 orang termasuk 260 warga asing, tidak dapat dikesan di Tibet.
Kejadian itu memusnahkan rumah, jambatan, jalan raya dan infrastruktur lain, selain menyebabkan penduduk serta pengembara terputus hubungan dengan kawasan lain di negara itu.
Pasukan mencari dan menyelamat sedang meneruskan operasi, dengan Tentera Nepal, Polis Nepal, dan Pasukan Polis Bersenjata dikerahkan untuk usaha mencari, menyelamat dan pemindahan mangsa.
Helikopter digunakan untuk sampai ke kawasan terpencil dan memindahkan mangsa yang terselamat, manakala pasukan darat terus melakukan pencarian di tebing sungai dan kawasan penempatan di hilir.
Lembaga pelancongan itu menyatakan pihaknya sedang giat mengesahkan keberadaan pelancong dan pengembara yang berada atau melalui kawasan Rasuwa, Nuwakot, dan Dhading ketika banjir melanda.
Skala sebenar bencana itu belum dapat dipastikan sepenuhnya memandangkan pihak berkuasa sedang menyelaraskan laporan mengenai jumlah korban dan orang hilang dari pelbagai kawasan.
Sementara itu, menurut laporan German Press Agency (dpa) dari KATHMANDU, polis Nepal memaklumkan sebanyak 1,545 orang telah diselamatkan, dengan ramai daripadanya mengalami kecederaan, manakala lebih 1,400 orang dilaporkan hilang.
Jurucakap polis Abi Narayan Kafle berkata pihak berkuasa belum mempunyai gambaran jelas mengenai jumlah sebenar mangsa yang hilang dan mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum skala penuh bencana itu dapat diketahui.
Puluhan mayat belum dikenal pasti susulan impak arus banjir, lumpur dan serpihan menyebabkan banyak mangsa mengalami kecederaan parah sehingga rupa fizikal mereka sukar dikenali, malah terdapat mayat yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna atau berkecai, menurut polis.





