KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa mulai hari ini.
MCMC dalam kenyataan menegaskan, tindakan itu diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.
Menurut MCMC, ia juga susulan penyalahgunaan Grok melibatkan kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
Katanya, semua itu termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC.
“MCMC telah mengeluarkan notis kepada X Corp dan xAI LLC pada 3 Januari dan 8 Januari bagi menuntut, antara lain pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang berkesan.
“Ia untuk mencegah kandungan janaan AI yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
