CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memastikan penduduk yang terjejas akibat bencana di Sabah kekal berhubung melalui pengaktifan kemudahan komunikasi kecemasan dan capaian Internet komuniti.
Susulan itu, MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah menggerakkan kenderaan mudah alih PRIME, yang dilengkapi sokongan komunikasi, ke Kampung Cendrakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Sebanyaj 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) juga diaktifkan bagi menyediakan akses Internet kepada masyarakat yang terkesan, membolehkan mereka terus berhubung dengan keluarga serta pihak berkuasa.
“Setakat ini, sebanyak 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik dan daripada jumlah itu, 147 menara
kembali beroperasi, hasil kerja pemulihan berperingkat yang giat dijalankan bersama syarikat-syarikat telekomunikasi,” menurut kenyataan itu.
Bagi mempercepatkan pemulihan, MCMC turut menubuhkan Task Force khas melibatkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan SESB untuk memantau keadaan semasa di kawasan terjejas.
Katanya, tumpuan diberikan kepada penyelarasan pemulihan collector sites dan tapak-tapak kritikal, termasuk penyediaan kuasa sementara melalui genset.
“Usaha ini akan diteruskan secara bersepadu dengan agensi penyelamat, pihak berkuasa negeri dan persekutuan, serta pemain industri, demi memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu.
