

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu malam esok berikutan bencana banjir akibat hujan berterusan.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bencana yang melanda negeri itu telah menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.
Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari in
Hajiji berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah telah diarahkan supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuaca buruk yang berpanjangan.
Katanya, JPBN Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong kini mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.
“Orang ramai dinasihat supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri,” katanya.






