
LONDON: Lionel Messi menolak tawaran luar biasa bernilai RM6.6 bilion (£1.2 bilion) untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ittihad kerana mengutamakan keluarganya.
Pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu, menolak perpindahan ke Timur Tengah dan memilih untuk menyertai Inter Miami milik David Beckham pada tahun 2023.
Presiden Al-Ittihad, Anmar Al Haili, mendedahkan beliau pernah menawarkan Messi kontrak lumayan bernilai £346 juta (RM1.8 bilion) setahun untuk menyertai kelab dari Arab Saudi itu sebelum pemain berkenaan memilih ke Amerika Syarikat (AS).
“Saya menghubunginya sebelum ini, ketika kontraknya bersama PSG berakhir. Saya menawarkan kepadanya 1.4 bilion euro (RM6.6 bilion).
“Dia menolak tawaran sebesar itu demi keluarganya walaupun sudah berjaya meyakinkan mereka.
“Namun, dia tidak teragak-agak untuk menolaknya kerana keluarga lebih penting daripada wang.
“Saya menghormatinya, dan Al-Ittihad akan sentiasa membuka pintu untuknya. Dia boleh datang bila-bila masa,” katanya.
Pemain berusia 38 itu menandatangani kontrak baharu yang lumayan bersama Inter Miami pada Oktober lalu yang akan mengekalkannya di kelab itu sehingga musim panas 2028. – agensi







