
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memohon pertimbangan berkaitan perolehan kepada kerajaan sekiranya pembekuan berpotensi menjejaskan operasi serta tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembekuan perolehan bergantung kepada proses sedia ada yang perlu melalui kelulusan menteri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kita akan merujuk kepada kerajaan jika ada yang boleh menjejaskan operasi dan kesiagaan, maka kita akan mohon untuk diteruskan perolehan-perolehan tu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, ATM melaksanakan operasi berterusan bagi menjaga keselamatan perairan strategik negara, termasuk Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu, termasuk kawalan sempadan darat serta maritim dengan lima negara jiran.
“Kita ada tentera di pulau-pulau di sepanjang timur Sabah untuk menangani ancaman Sulu. Kalau ada yang boleh menjejaskan operasi, kita akan mohon pertimbangan untuk diteruskan perolehan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan pembekuan semua perolehan MINDEF dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai sebahagian langkah penilaian dan penambahbaikan tadbir urus perolehan kerajaan.





