
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju berkongsi cadangan semakan semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dengan pembangkang melalui kaukus Parlimen dwipartisan yang ditubuhkan bagi meneliti perjanjian berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Ghani berkata, terdapat keperluan menangani isu berbangkit berkaitan ART yang menimbulkan salah faham meluas termasuk kebimbangan mengenai kedaulatan negara, sebelum perjanjian tersebut diratifikasi.
“Justeru, saya punya komitmen kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Bila saya sudah ada cadangan ini, kita akan duduk berbincang,” katanya ketika menjawab pertanyaan Hamzah (PN-Larut) di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini mendapatkan jaminan bertulis daripada AS mengenai kedaulatan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas di bawah ART.
Beliau menjelaskan, kebimbangan utama kerajaan adalah satu klausa dalam perjanjian yang mungkin mengehadkan kebebasan Malaysia dalam menentukan hala tuju dasar ekonomi negara.
Malaysia menandatangani ART dengan AS pada 26 Oktober lalu.
Perjanjian itu menerima kritikan daripada beberapa pihak yang mendakwa ia tidak selaras dengan Perlembagaan dan boleh menggugat kedaulatan ekonomi negara dengan memaksa Putrajaya mematuhi peraturan serta regulasi perdagangan dan pelaburan AS.
Menjawab kritikan tersebut, Anwar menegaskan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah dirujuk sebelum perjanjian ditandatangani dan menegaskan Malaysia berhak menamatkan perjanjian itu sekiranya perlu.
AGC turut menyatakan kedaulatan dan kepentingan nasional negara tetap dilindungi sepenuhnya di bawah ARTb dan pelaksanaan kewajipan serta komitmen perjanjian tertakluk kepada undang-undang serta prosedur domestik yang berkuat kuasa.
Bulan lalu, Johari memberitahu, kementeriannya akan meneliti ART secara menyeluruh dan akan mengusahakan rundingan semula sekiranya terdapat terma yang bercanggah dengan kepentingan negara.
Katanya, tindakan tersebut adalah usaha kerajaan bagi memastikan kepentingan nasional sentiasa terpelihara dan sebarang keraguan terhadap perjanjian dapat ditangani secara telus.




