
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak sewajarnya ‘dipukul rata’ kepada seluruh pasukan kerana masih ramai pegawai dan anggota yang bertugas dengan penuh amanah serta dedikasi tinggi.
Beliau mengakui isu rasuah serta penyelewengan dana dalam pasukan tentera bukan sahaja mengejutkan negara malah menjadi perhatian dunia.
“Kita baru sahaja membincangkan skandal kewangan dan kini berdepan isu rasuah dan penyelewengan dana.
“Sudah tentu ia tidak mewakili seluruh anggota, sama ada di Kementerian Pertahanan (MINDEF) mahupun agensi penguatkuasaan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di MITEC, di sini, hari ini.
Perdana Menteri menekankan episod gelap yang digambarkan sebagai ‘puting beliung’ walaupun jarang berlaku di Malaysia, tidak sepatutnya memberi gambaran negatif terhadap keseluruhan ATM.
Beliau berharap ‘puting beliung’ yang melanda pasukan itu segera reda dan yakin kepimpinan baharu mampu memimpin angkatan pertahanan negara dengan cemerlang.
Anwar turut menyentuh tabiat buruk segelintir pemimpin yang meletakkan kepentingan peribadi dan kekayaan sebagai matlamat utama.
Katanya, tabiat tersebut yang dahulunya sering dikaitkan dengan ahli politik kini menular dalam kalangan penjawat awam termasuk anggota angkatan bersenjata.
“Dengan kepentingan peribadi, mana mungkin kita dapat menetapkan dasar perolehan senjata terbaik jika masih dibelenggu kepentingan sendiri dan komisen,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan khusus kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengemudi MINDEF dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme.
Menurut Anwar, kemajuan ekonomi negara sebahagiannya hasil sumbangan ATM dan agensi penguatkuasaan yang sentiasa bersiap siaga menjaga keamanan negara.
Katanya, dasar pertahanan negara tetap menjadi keutamaan kerajaan walaupun negara berada dalam tempoh aman dan damai.





