
ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan akan melaksanakan ujian saringan diagnostik khas bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki tahun satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hanya murid yang memenuhi kriteria ditetapkan serta berjaya melepasi ujian diagnostik tersebut akan dipilih untuk kemasukan berkenaan.
Katanya, ibu bapa perlu mendaftarkan anak masing-masing bagi menduduki ujian saringan itu terlebih dahulu dan maklumat lanjut mengenai pelaksanaannya akan diumumkan oleh kementerian kelak.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan bahawa kemasukan kanak-kanak ke Tahun Satu pada usia enam tahun bukanlah satu keperluan atau kewajipan kepada semua ibu bapa sebaliknya dilaksanakan secara pilihan berdasarkan tahap kesediaan murid.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Kedah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina juga memberi jaminan bilangan guru, sekolah serta kemudahan sedia ada adalah mencukupi bagi menampung pendaftaran pilihan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu.
Beliau berkata, pihak kementerian sudah menjalankan kajian terperinci berhubung keperluan pelaksanaan langkah tersebut dan mendapati tenaga pengajar sedia ada di sekolah terlibat mencukupi untuk mengendalikan pendaftaran berkenaan.
Katanya, pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke tahun satu bukan bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara pilihan dan hanya melibatkan sekolah yang mempunyai kemudahan serta sokongan mencukupi untuk menerima tambahan murid.




