
KOTA BHARU : Seorang lelaki bergelar Tan Sri direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan disyaki berkaitan kes penipuan pelaburan bernilai lebih RM300 juta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, agensi itu turut menahan seorang wanita berusia 50-an yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah syarikat dimiliki lelaki kenamaan terbabit.
“Tan Sri berusia 60-an itu ditahan pada Rabu manakala wanita tersebut pada Selasa.
“Kita tahan Tan Sri itu semasa beliau hadir ke pejabat dan proses rakaman percakapan beliau sebagai orang yang ditahan,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, lelaki berkenaan dipercayai terlibat dalam penipuan berskala besar dan melibatkan ramai pelabur mengalami kerugian jutaan ringgit serata negara.
“Tan Sri ini dipercayai menawarkan pelaburan wang dan telah salah guna wang tersebut mungkin ke akaun sendiri atau sebagainya, itu yang kami sudah mendapat maklumat.
“Kami akan menjalankan tindakan penyiasatan dengan lebih terperinci lagi.
“Pelaburan ini sudah berlaku dua tahun lepas. Pelaburan pelbagai, yang menjanjikan pulangan tinggi,” katanya.





