
KINABATANGAN : Peruntukan pembangunan luar bandar terbesar kepada Sabah menerusi Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkukuh pembangunan desa serta meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar tanpa mengabaikan keperluan negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dana berkenaan diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program merangkumi sektor pendidikan, latihan kemahiran, penyediaan infrastruktur asas dan usaha memperkasa ekonomi masyarakat di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, pendekatan tersebut sejajar dengan peranan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dipimpinnya, khususnya dalam menangani jurang pembangunan dan memastikan masyarakat luar bandar terutama di kawasan sukar diakses tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan serta peluang ekonomi.
“Saya akan berkoordinasi dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang, bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa@Kuamut di Dataran Tongod, yang turut dihadiri Jafry dan Masiung.
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu menyaksikan Sabah memperoleh peruntukkan sebanyak RM6.9 bilion bagi tujuan pembangunan.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, komitmen kerajaan untuk terus menambah baik kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar, dengan penekanan khusus terhadap kelas KEMAS di daerah Kuamut dan Tongod.
“Usaha tersebut bertujuan memastikan prasarana sedia ada diperkasa demi keselesaan dan keberkesanan pembelajaran masyarakat setempat,” katanya.
Tambah beliau, program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) turut menjadi antara fokus utama KKDW bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia di luar bandar untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan.
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah kementerian akan diselaraskan bersama kepimpinan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap peruntukan dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh rakyat,” katanya.







