
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima surat perletakkan jawatan Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, hari ini
Bagaimanapun, punca utama presiden badan induk itu melepaskan jawatan masih tidak diketahui.
Terdahulu, FAM dalam kenyataan menjelaskan Jawatankuasa Eksekutif dipanggil untuk mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029, hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagi membincangkan keputusan Mohd. Joehari yang menghantar surat peletakan jawatan, baru-baru ini.
Badan induk menjelaskan, Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat berkenaan meneliti hasrat Datuk Mohd Joehari itu dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan bagi menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau.
“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan presiden kosong, timbalan presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga kongres seterusnya iaitu tahun hadapan. Kongres itu hendaklah memilih presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan.
Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju untuk menamakan Datuk Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, hari ini berdasarkan apa yang termaktub dalam Statut FAM itu,” jelas FAM.