KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa 3 Disember 2025.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang juga Setiausaha Jemaah Menteri berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat pada Jumaat lepas.
“Kerajaan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Penampang sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Ewon mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bulan lepas.
Sementara itu, Nanta menerusi hantaran di Facebook menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
Di samping menjalankan tugas sebagai Menteri Kerja Raya, pelantikan itu akan digalas dengan penuh komitmen bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelancaran fungsi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Beliau turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan Ewon sepanjang menerajui KUSKOP.
“Saya komited untuk memastikan kerja-kerja kementerian berjalan dengan teratur dan dasar yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat usahawan, PKS, koperasi dan rakyat secara keseluruhan.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua agensi, rakan industri dan pemegang taruh bagi memastikan kelancaran pentadbiran KUSKOP sepanjang tempoh saya menjalankan tugas ini,” katanya.
