KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu memastikan wujudnya persekitaran kondusif yang dapat menyokong inovasi serta perkembangan sektor industri dalam landskap digital masa kini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, meskipun kerajaan menyedari betapa pentingnya kemajuan teknologi, ia turut memahami pemain industri memerlukan asas kukuh serta kemudahan bersesuaian bagi membolehkan teknologi dimanfaatkan dan dibangunkan dengan lebih berkesan.
“Ia penting kerana kita sentiasa bercakap mengenai membina ekosistem yang akan memberi manfaat dan memperkasakan industri.
“Akhirnya, kita bercakap mengenai cara untuk memperkasakan industri supaya mereka boleh memanfaatkan ekosistem ini yang kita bina untuk menyampaikan teknologi yang kita perlukan supaya kita dapat melihat penyelesaian kepada masalah masa lalu yang boleh diselesaikan teknologi hari ini,” katanya berucap pada Persidangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan (AI) di sini, hari ini.
Susulan usaha tersebut, Gobind menjelaskan penubuhan Kementerian Digital bertujuan merangka strategi menyeluruh meliputi aspek penting seperti pembangunan infrastruktur, keselamatan, kepercayaan digital serta pembangunan bakat.
Katanya, meskipun kerajaan komited menyokong pertumbuhan sektor berkenaan, input dan panduan daripada pemain industri tetap diperlukan bagi memastikan ekosistem digital yang dibina benar-benar memenuhi keperluan sebenar pasaran.
“Saya hampir pasti jika semua bekerjasama, ia akan memastikan kita bukan saja membina ekosistem yang akan membantu setiap orang daripada kita, tetapi akhirnya kita juga memastikan tiada siapa akan ketinggalan dalam dunia baharu transformasi digital baharu yang kita semua sering bincangkan dengan penuh keterujaan,” katanya.
