KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau menerima dua surat daripada ahli-ahli Exco negeri Terengganu dan Kelantan yang memohon kelulusan projek tertentu secara terus daripada perdana menteri.
Anwar berkata, tindakan tersebut jelas tidak beretika kerana mana-mana Exco negeri tidak sepatutnya meminta kelulusan terus daripada beliau bagi mana-mana projek.
“Dalam kes pegawai saya, enam syarikat hanya diminta dipertimbangkan dan itu wajar diberi teguran.
“Tetapi adakah perlu dipecat jika surat itu pun tidak mencadangkan kelulusan?
“Berbeza dengan surat yang minta kelulusan perolehan melalui rundingan terus, itu tidak dibenarkan. Di Terengganu, ia ditandatangani seorang Exco. Surat dari Kelantan juga turut meminta kelulusan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, pembangkang bersikap hipokrit kerana tidak menegur langsung tindakan Exco terbabit.
“Saya anggap hipokrasi di sini ialah tidak sepatah pun disebut oleh pembangkang tentang surat dari Exco Kelantan dan Terengganu yang minta kelulusan projek,” tegasnya.
Beliau turut mengesahkan surat dari Terengganu itu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri.
Pendedahan itu dibuat selepas desakan Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menyatakan identiti pihak yang menghantar surat berkenaan.
Terdahulu, beliau menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) mengenai keperluan audit dalaman ke atas pegawai menteri susulan teguran supaya menteri lebih tegas memantau pegawai mereka.
Anwar berkata, kerajaan bersetuju supaya audit khas dilaksanakan bagi memastikan pegawai menteri mematuhi segala peraturan dan tidak terlibat dengan sebarang salah laku.
“Seperti saya umumkan, pemantauan berterusan akan dilakukan kerana ada pekeliling tatakelakuan dan tatatertib.
“Saya setuju bahawa perlu ada pemantauan lebih teliti termasuk isu surat sokongan yang dibangkit baru-baru ini,” katanya.
