PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ditandatangani tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Menurut Dr. Mahathir, tindakan Anwar menandatangani perjanjian berkenaan dipercayai dibuat tanpa mandat penuh daripada pihak berautoriti yang sepatutnya mewakili Persekutuan Malaysia.
“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya supaya siasatan terhadap Anwar dapat dijalankan.
“Perjanjian itu tidak sah kerana beliau bukan seorang sahaja yang mewakili Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di sini, hari ini.
Dr. Mahathir berkata, sebarang perjanjian antarabangsa sepatutnya memperoleh persetujuan empat pihak iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja dan badan eksekutif kerajaan.
Namun katanya, keempat-empat komponen penting itu tidak dipenuhi, sekali gus menjadikan tindakan tersebut satu kesalahan.
Beliau turut mendakwa dokumen ART merangkumi kira-kira 400 muka surat namun tidak pernah didedahkan kepada umum.
“Terdapat banyak klausa menunjukkan kuasa negara diserahkan kepada AS. Apa juga tindakan kita mesti dirujuk kepada mereka dan akhirnya AS yang menentukan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukan bumiputera dalam perjanjian tersebut, Dr. Mahathir mendakwa ia tidak dinyatakan secara jelas.
“Keistimewaan bumiputera tidak boleh dikenakan terhadap barangan atau dagangan AS. Ini bermakna apa-apa kelebihan bumiputera perlu turut diberikan kepada AS.
“Sebab itu kita kata Amerika Syarikat seolah-olah mendapat status bumiputera,” katanya.
Beliau turut meminta polis menyiasat sama ada tindakan Anwar melanggar undang-undang negara atau Perlembagaan Persekutuan.
Dr. Mahathir memaklumkan lebih 139 laporan polis dibuat individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara mengenai isu sama.
ART yang dimeterai Anwar dan Presiden AS, Donald Trump pada 26 Oktober lalu bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi serta melibatkan pelarasan tarif dan kerjasama dua hala Malaysia–AS.
Namun, perjanjian tersebut menerima kritikan beberapa pihak yang mendakwa ia merugikan negara, khususnya berkaitan hak dan keistimewaan bumiputera.
