KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuatkuasa hari ini memperkukuh perlindungan pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penguatkuasaan akta berkenaan dapat memastikan platform digital memikul tanggungjawab yang sewajarnya.
“ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.
“Ia termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna,”ujar kenyataan itu.
MCMC menambah, akta terbabit terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Bagaimanapun, MCMC berkata, ONSA tidak terpakai terhadap pengguna individu.
Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan peruntukan deeming di bawah seksyen 46A, AKM 1998 berkuat kuasa hari ini.
“Berikutan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia termasuk ONSA.
“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian,” ujarnya lagi.
MCMC komited untuk memastikan ekosistem dalam talian yang lebih selamat, bertanggungjawab dan berakauntabiliti untuk semua.
