RABAT: Seorang penyokong Republik Demokratik Congo (DRC) menjadi tular kerana melakukan penghormatan luar biasa pada perlawanan menentang Botswana di Stadium Agdal Medina di sini Selasa lalu.
Menurut laporan The Sun, Kuka Mboladinga berdiri sepanjang 115 minit perlawanan berlangsung dalam posisi sama seperti patung ikonik Perdana Menteri pertama negara DRC, Patrice Lumumba yang dibunuh pada tahun 1961 di Kinshasa.
Lelaki berkenaan yang memiliki wajah mirip Lumumba memadankan jaket dan tali leher sebagai simbol penghormatan kepada Perdana Menteri pertama negaranya selepas mencapai kemerdekaan daripada Belgium pada tahun 1960.
Lebih mengagumkan, dia berdiri dengan tangan kanan terangkat ke udara sepanjang perlawanan berkenaan sehingga menjadi tular di sosial media.
Aksi luar biasa itu mengejutkan peminat bola sepak yang menyaksikan perlawanan berkenaan di seluruh dunia.
Pasukan DRC atau dikenali sebagai Leopards mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik AFCON 2025 selepas mencatat kemenangan selesa.
