
KUALA LUMPUR: Seramai 163 rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat selamat tiba di tanah air pada 12.32 tengah hari tadi menerusi penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines MH8503.
Menurut Kementerian Luar, kumpulan tersebut terdiri daripada jemaah umrah dari Arab Saudi serta rakyat Malaysia yang berada di Qatar, Jordan dan Syria, yang terjejas akibat gangguan penerbangan dan penutupan ruang udara susulan konflik di rantau itu.
Penerbangan berkenaan turut membawa tujuh ahli keluarga bukan warganegara, iaitu lima rakyat Thailand serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Maghribi.
Kesemua penumpang mula keluar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 1.45 tengah hari dan disambut ahli keluarga mereka.
Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan konflik terjamin.
Pesawat Airbus A330-300 tersebut berlepas dari KLIA pada 4.10 petang semalam dan mendarat di Jeddah pada 8.35 malam waktu tempatan sebelum membawa pulang penumpang dalam tempoh masa singkat yang diberikan pihak berkuasa tempatan.
Ketegangan di Asia Barat dilaporkan meningkat sejak 28 Februari susulan siri serangan Israel dan United States ke atas Iran yang kemudian dibalas oleh Tehran dengan serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat di negara Teluk.






