KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sekali lagi diberi penghormatan menganjurkan dua pameran berprestij iaitu Pameran Semangat ASEAN dan Pameran Karya Agung.
JMM melalui Muzium Negara bekerjasama dengan Perbadanan Kraftangan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menganjurkan Pameran Karya Agung yang diadakan bermula 15 April hingga 30 Jun ini.
Pameran itu menghimpunkan koleksi eksklusif seni kraf tempatan sebanyak 64 koleksi pelbagai produk kraf kraf daripada kehalusan hasil kerja tangan 8 orang Tokoh Kraf Negara dan 22 Adiguru Kraf Negara meliputi koleksi tekstil, hasil rimba, hasil logam dan hasil tanah.
Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, koleksi-koleksi ini bukan sahaja menceritakan kisah budaya dan sejarah, tetapi juga menggambarkan keindahan seni dan kreativiti yang tinggi.
“Ia memberi ruang untuk kita lebih menghargai kepelbagaian warisan yang dimilki oleh negara selain memberi pengiktirafan kepada mereka yang banyak berjasa serta menjadi inspirasi kepada individu, penggiat industri, pelajar, penyelidik dan orang awam.
“Pelbagai program dan aktiviti sisipan seperti Wacana Kraf, Demonstrasi dan Interaktif Kraf juga akan diadakan sepanjang tempoh pameran ini berlangsung,” katanya Ketika berucap dalam majlis peluncuran kedua-dua pameran tersebut di Dataran Muzium Negara, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Mengenai Pameran Semangat ASEAN, Kamarul Baharin berkata, sebanyak 120 koleksi dipamerkan untuk menonjolkan kepentingan konsep keterangkuman dan kemampanan dalam konteks ASEAN yang terdiri daripada negara-negara yang berbeza latar belakang sejarah dan budaya.
“Tujuan pameran ini adalah untuk memperlihatkan identity serantau dan memantapkan pemahaman kita terhadap peranan ASEAN dalam mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan bagi mengukuhkan lagi hubungan yang menyatukan rantau ini.
“Pameran ini adalah simbol komitmen kita untuk terus memelihara dan memperkukuhkan hubungan antara negara-negara ASEAN, serta memperkenalkan nilai-nilai universal yang kita sama-sama junjung, seperti kedamaian, kestabilan, dan kemakmuran,” katanya.

Jelas Kamarul Baharin, antara aktiviti yang diadakan sepanjang pameran itu berlangsung dari 21 April sehingga 31 Ogos ini adalah sisipan seperti Program Kenali ASEAN, Hari Kebudayaan ASEAN dan Pertandingan Kuiz ASEAN.
Sementara itu, turut diadakan sambutan Aidilfitri bagi meraikan semua warga JMM.
