KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 serta telah telah mengambil tindakan tegas dan serta-merta terhadap semua pihak yang terbabit.
KPM dalam satu kenyataan mengatakan, kecuaian itu tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.
“KPM memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM seperti yang diedarkan, hari ini.
“Tindakan tegas dan serta-merta sudah diambil ke atas semua yang terbabit. Siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan.
“Laporan analisis yang dicetak sudah diminta untuk dikembalikan semula, dan pembetulan segera sedang dilakukan,” katanya.
Terdahulu, tular gambar kesilapan pemaparan Jalur Gemilang yang dicetak dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 yang diedarkan, hari ini.
Gambar itu memaparkan Jalur Gemilang tidak mengikut reka bentuk sepatutnya, yang dilihat digantung di bahagian hadapan sebuah bilik darjah.
