PUTRAJAYA: Seramai 355,933 atau 94 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 layak diberikan sijil, berbanding 349,297 atau 93.5 peratus pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, berkata ini menunjukkan berlaku peningkatan bagi jumlah calon yang layak menerima pensijilan itu, iaitu sebanyak 0.5 peratus atau seramai 6,636 calon.
“Alhamdulillah ini menunjukkan peningkatan berlaku, iaitu sebanyak 6,636 calon atau 0.5 peratus.
“Ini adalah pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan diperkenalkan bermula dari 2013 yang mewajibkan calon lulus dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak diberikan sijil SPM,” katanya dalam Sidang Media Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 di Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.
Berdasarkan Analisis Keputusan SPM Tahun 2024 yang dikeluarkan KPM, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM adalah seramai 402,918 calon berbanding 395,924 calon bagi SPM 2023, iaitu pertambahan sebanyak 6,994 calon (1.7 peratus).
Azman turut memaklumkan, seramai 1,749 calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) menduduki peperiksaan SPM 2024.
Daripada jumlah terbabit, 1,377 atau 78.7 peratus calon CBPK layak memperoleh sijil, berbanding 1,362 atau 78.9 peratus pada 2023.
“Calon yang layak diberikan sijil terdiri daripada beberapa kategori CBPK berdasarkan kepelbagaian kurang upaya calon berkenaan.
“Ini termasuk kurang upaya fizikal, kurang upaya pelbagai, kurang upaya pendengaran, penglihatan, pertuturan dan masalah pembelajaran,” katanya.
Dalam pada itu, Azman turut memberitahu, pakar pentaksiran dari luar negara turut dilibatkan dengan kepakaran mereka digunakan bagipembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM 2024.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa, pakar pentaksiran dari luar negara terbabit sama untuk memberikan khidmat kepakaran dalam pembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM Tahun 2024.
“Pakar pentaksiran luar negara yang terbabit dalam peperiksaan SPM 2024 adalah dari Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB), United Kingdom,” katanya.
Azman turut memberitahu, banjir besar yang berlaku di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah khususnya pada hari pertama peperiksaan itu bermula pada 2 Disember 2024 tidak menjejaskan keputusan calon SPM 2024 yang terjejas.
Katanya, ia diukur berdasarkan pencapaian memberangsangkan ditunjukkan calon SPM dari negeri yang terbabit, selain disokong langkah intervensi awal serta berterusan dilaksanakan KPM dengan bantuan agensi serta kementerian lain dalam usaha memastikan peperiksaan itu berjalan lancar.
