
KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam kes kecurian nozel paip bomba di sebuah pangsapuri di Semenyih, selepas video insiden itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan mengenai kejadian tersebut diterima pada 30 Jun lalu daripada penyelia keselamatan bangunan, yang memaklumkan kehilangan beberapa unit nozel paip bomba.
“Hasil siasatan mendapati sebanyak 26 unit nozel dari tingkat 5 hingga tingkat 17 bangunan tersebut dipotong dan dicuri oleh individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 44 tahun pada pukul 10.30 malam, 24 Julai lalu.
“Kedua-dua suspek adalah warga tempatan dan dipercayai merupakan pasangan kekasih,” jelas Naazron.
Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod jenayah, manakala wanita itu pula memiliki lapan rekod dadah serta lima rekod jenayah lain.
“Ujian urin juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” tambah beliau.
Susulan penahanan itu, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.






