ALOR SETAR, 25 Julai -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh memeriksa barangan jualan pada pelaksanaan penguatkuasaan OPS Kesan 4.0 peringkat Negeri Kedah di sini hari ini. Fauziah berkata tujuan pemeriksaan mengesan sebarang kenaikan harga yang tidak berasas serta memastikan pematuhan terhadap harga terkawal dan barangan keperluan utama seperti minyak, gula, tepung, beras, telur dan ayam. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah proaktif bagi memantau dan mengawal sebarang kenaikan harga barangan keperluan harian berikutan perang yang berlaku di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah itu termasuk pemantauan harga harian serta pelaksanaan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi mengurangkan kesan inflasi akibat kemungkinan gangguan terhadap aliran perdagangan serantau.
“Kami sedar isu global boleh memberi kesan kepada harga tempatan. Justeru, pegawai penguat kuasa serta pasukan pemantau harga kami berada di lapangan setiap hari.
“Kami mempunyai pangkalan data dan graf arah aliran harga yang akan membantu mengesan sebarang perubahan yang luar biasa.
“Setakat ini, tiada sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah dikesan,” katanya ketika melakukan pemeriksaan Op Kesan 4.0 di pasar raya besar Mydin di sini, hari ini.
Fuziah menegaskan pemantauan akan diteruskan, bukan hanya kerana konflik bersenjata, tetapi juga bagi menjangkakan sebarang faktor luaran lain yang boleh menjejaskan perdagangan dan rantaian bekalan negara.
Fuziah berkata, Op Kesan 4.0 yang dilaksanakan bertujuan membanteras pencatutan dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak wajar, khususnya selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang baharu.
Setakat ini, katanya, sebanyak 950 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara, melibatkan 3,965 unit penyimpanan stok (SKU).
“Di Kedah sahaja, kami sudah lakukan 62 pemeriksaan membabitkan 240 SKU. Barang keperluan harian seperti makanan dan minuman tidak dikenakan SST, termasuk barangan yang diimport.
“Jadi, tidak sepatutnya berlaku peningkatan harga terhadap barangan penting. Namun, pasukan penguat kuasa kami sentiasa berada di lapangan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada peluasan SST,” ujarnya.
Beliau turut menggesa orang ramai segera melaporkan sebarang kenaikan harga yang meragukan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.







