
Alor Setar: Program Pakat Tughun Bendang Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di Muzium Padi, di sini mampu menjadi platform merakyatkan muzium bersama masyarakat.
Penolong Kurator Muzium Negeri Kedah, Badri Sham Ahmad berkata, program Pakat Tughun Bendang merupakan antara salah satu aktiviti diadakan sempena FHMAPK 2025.
Dia menambah, program berkenaan adalah signatur Kedah sebagai negeri Jelapang Padi.

“Pakat Tughun Bendang menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung untuk merasai pengalaman baharu dan unik.
“Antara aktiviti-aktiviti ini termasuk menangkap itik, gagau ikan, bola sepak bendang, bola jaring bendang, memancing dan banyak lagi,” katanya.

Badri Sham menambah, para pengunjung juga dapat merasai masakan makanan Kedah di tepi bendang.
Ujarnya lagi, program istimewa tersebut diadakan selama dua hari merangkumi kategori staf muzium dan terbuka kepada orang ramai.
“Program Pakat Tughun Bendang turut menerima penyertaan Universiti Antarabangsa Albukhary yang terdiri daripada 15 penuntut antarabangsa.
“Penyertaan mereka dapat mempromosikan produk pelancongan tempatan bersesuaian dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 bertemakan Experience Kedah,”katanya.

Selain itu, dia menjelaskan, terdapat kategori bawah 12 tahun dalam pertandingan bola sepak bendang yang disertai 12 pasukan.
Ujarnya, murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan akan memperoleh markah dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJSK).
“Program Pakat Tughun Bendang turut menampilkan pengarah-pengarah muzium beraksi dalam permainan bola sepak bendang dan serkap ikan menentang pegawai-pegawai pentadbiran negeri Kedah,” katanya.

FHMAPK 2025 pada kali ini mengambil pendekatan merakyatkan muzium dengan mensasarkan 150,000 pengunjung.
Ia merupakan satu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.







