
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas dipercayai dipukul oleh orang awam ketika cuba melakukan jenayah ragut terhadap seorang guru tadika wanita di kawasan perumahan berhampiran Batu 9, Cheras pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.10 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota dari Balai Polis Batu 9 Cheras menemui seorang lelaki terbaring dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan perubatan yang tiba kemudian mengesahkan lelaki tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis percaya kematian suspek berpunca daripada kecederaan akibat dipukul oleh orang awam.
Menurut Naazron, suspek berkulit cerah, dianggarkan berketinggian 160 sentimeter, memakai kemeja-T hitam dan seluar pendek hitam bercorak logo ‘Adidas’ selain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Bedah siasat dijalankan pada hari yang sama dan punca kematian kini diklasifikasikan sebagai “pending laboratory analysis” oleh pakar patologi.
Berikutan insiden tersebut, polis menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun pada pukul 7.46 malam hari kejadian bagi membantu siasatan.
“Kesemua mereka direman selama enam hari hingga 28 Julai ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan,” katanya.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau identiti si mati supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ong Eng Yew di talian 012-696 6849 atau mana-mana balai polis berdekatan.






