KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menasihati peserta himpunan ‘Turun Anwar’ di ibu negara esok, perlu sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada serta bersama memelihara ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar.
Katanya, setiap suara yang mahu dizahirkan perlu disampaikan dalam suasana saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat Malaysia.
Tambah beliau, bagi masyarakat umum yang mungkin tidak terbabit dalam himpunan berkenaan, disaran merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa.
“Ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kelewatan, memandangkan aliran trafik dijangka mengalami sedikit perubahan sepanjang berlangsungnya perhimpunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan itu dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta, membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.
Peserta dijangka akan berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Mohd Khalid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan awam akan terus dipelihara dan pada masa sama, hak kebebasan rakyat akan tetap dihormati.
“Kami percaya perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama.
“PDRM amat menghargai kepercayaan diberikan oleh rakyat dan menyeru semua pihak terus memainkan peranan secara berhemah dan matang.
“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap ruang demokrasi yang terbuka ini dimanfaatkan secara positif, demia menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Katanya, PDRM komited memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.
“Segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.
“Sebagai agensi penguatkuasaan yang sentiasa menjunjung perlembagaan Persekutuan, PDRM menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini,” katanya.
